Berita Utama

Sah 8 individu tanding jawatan Naib Presiden UMNO

Tak wujud beberapa kem dalam pemilihan kali ini: Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Syaaban 1444H, Selasa – Lapan individu disahkan bakal bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO kali ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu adalah muktamad walaupun Datuk Seri Zambry Abd Kadir menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

“Setakat ini, bagi jawatan Naib Presiden adalah lapan orang  disahkan bertanding walaupun kita tahu Zambry telah tarik diri, jumlah yang bertanding tetap lapan orang,’ katanya seperti dilapor media tempatan.

Lapan individu yang bakal bertanding termasuk dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Ir Hasni Mohamad, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, mengulas keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan ini, Ahmad Zahid berkata, itu merupakan hak beliau.

Hakikatnya, parti sentiasa menghormati keputusan dilakukan bekas Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan wujudnya beberapa kem dalam pemilihan kali ini, katanya ia tidak wujud dan semua ahli hanya berpegang pada prinsip UMNO.

“Ada kem, satu kem sahaja iaitu kem UMNO Malaysia dan dakwaan itu tidak wujud, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button