Berita Utama

Pemohon layak, tiada dalam data STR boleh mohon sebelum 31 Mac

Penerima Fasa 1 secara automatik dimasuk ke pangkalan data

BANGI, 8 Syaaban 1444H, Rabu – Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dibuka mulai 1 Mac sehingga 31 Mac 2023, menurut Kementerian Kewangan.

Katanya, pendaftaran bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing, selain membolehkan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat untuk mengemaskini.

Kementerian berkata, bagi mengurangkan golongan tercicir, data penerima STR Fasa 1 akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan, di samping data daripada beberapa agensi kerajaan untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat ditetapkan.

“Kementerian Kewangan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, STR pada tahun 2023 akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.

“Pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas akan terus diperkasakan di bawah Kerajaan Perpaduan,” kata Anwar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button