Berita UtamaDunia

AS cari sekutu dapatkan sokongan kenakan sekatan baharu ke atas China

Washington beri amaran pada Beijing supaya tak bantu Russia

WASHINGTON, 9 Syaaban 1444H, Khamis -Amerika Syarikat memanggil sekutu rapatnya  untuk bersedia mengenakan sekatan baharu ke atas China jika Beijing memberikan sokongan ketenteraan kepada Russia dalam perangnya di Ukraine.

Perundingan itu, yang masih di peringkat awal, bertujuan untuk mendapatkan sokongan daripada pelbagai negara, terutama dalam Kumpulan 7 (G7) yang kaya, untuk menyelaraskan sokongan bagi sebarang kemungkinan sekatan.

Bagaimanapun, tidak jelas apakah sekatan khusus yang akan dicadangkan oleh Washington. Perbualan itu tidak didedahkan sebelum ini.

Washington dan sekutunya berkata, beberapa minggu kebelakangan ini China sedang mempertimbangkan untuk menyediakan senjata kepada Russia, yang dinafikan Beijing. 

Bagaimanapun, pembantu kepada Presiden AS, Joe Biden tidak memberikan bukti secara terbuka.

Mereka juga telah memberi amaran secara langsung kepada China supaya tidak berbuat demikian, termasuk dalam pertemuan antara Biden dan Presiden China, Xi Jinping serta  pertemuan peribadi pada 18 Februari antara Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan diplomat tertinggi China Wang Yi di luar acara persidangan keselamatan global di Munich.

Langkah awal pentadbiran Biden untuk menentang sokongan China terhadap Russia ttermasuk pendekatan tidak rasmi di peringkat kakitangan dan diplomatik, termasuk Jabatan Perbendaharaan, kata sumber yang mengetahui perkara itu.

Ditanya mengenai perundingan itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih berkata, perang Russia menyukarkan China dengan Eropah dan lain-lain.

“Ia adalah gangguan bagi China dan potensi tamparan kepada hubungan antarabangsa yang mereka tidak perlukan,” kata jurucakap itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button