Berita Utama

Gesa tarik balik tayangan filem Mentega Terbang

Tubuh jawatankuasa teliti kandungan filem yang boleh jejas akidah umat

BANGI, 9 Syaaban 1444H, Khamis – Kementerian Komunikasi dan Digital dan Menteri Hal Ehwal Agama digesa bertindak tegas termasuk menarik kebenaran tayangan filem Mentega Terbang yang disiarkan melalui penstriman video di internet.

Filem ini mendapat kritikan kerana didakwa bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Cereka berdurasi satu jam 44 minit itu turut mencetuskan kegusaran orang awam kerana memaparkan adegan dengan unsur bercanggah kepercayaan agama.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, jawatankuasa khas perlu dibentuk bagi meneliti kandungan filem ini yang boleh menjejaskan kesucian akidah umat Islam.

“UMMAH telah menonton filem Mentega Terbang. Agak mengejutkan apabila melibatkan beberapa babak dan dialog yang mencurigakan dan mengaburi kemurnian dan kesucian agama Islam secara halus.

“Ia seolah-olah cuba menggambarkan Islam yang liberal dan toleransi agama yang tidak menepati prinsip keimanan akidah sebenarnya sekali gus boleh mengelirukan generasi muda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru Mohd Zai berkata, siasatan segera perlu dilakukan bagi meneliti kandungan filem ini yang boleh menjejaskan kesucian akidah umat Islam.

Mentega Terbang mula ditayangkan melalui platform penstriman berbayar Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Ia mengisahkan remaja berusia 16 tahun bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan.

Malah ada babak yang menunjukkan ayah Aishah berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain konon mencari jawapan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button