Berita UtamaDunia

Turkiye teruskan rancangan pilihan raya 14 Mei depan

Elak adakan bulan Jun kerana musim cuti

ANKARA, 9 Syaaban 1444H, Khamis – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan pilihan raya akan kekal diadakan 14 Mei depan mengikut perancangan awal, kira-kira tiga bulan selepas gempa bumi yang mengorbankan lebih 45,000 nyawa.

Ketika berucap di Parlimen, Erdogan menjelaskan, pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Negara akan melakukan apa sahaja yang perlu pada 14 Mei ini, insyaAllah,”katanya.

Bagaimanapun, terdapat isyarat yang bercanggah mengenai tempoh masa pilihan raya, apabila beberapa pihak mencadangkan supaya ditangguhkan sehingga lewat tahun ini atau diadakan seperti yang dijadualkan pada 18 Jun depan.

Sebelum kejadian gempa, populariti Erdogan terkesan susulan kos sara hidup yang tinggi dan kejatuhan lira.

Sejak itu beliau berdepan gelombang kritikan termasuklah berhubung tindak balas kerajaan pimpinannya ketika negara berdepan gempa bumi.

Erdogan bagaimanapun tetap akan meneruskan pilihan raya pada Mei bagi mengelak musim cuti pada Jun.

Bagaimanapun terdapat keraguan mengenai keupayaan pihak berkuasa mengadakan pilihan raya untuk menyedia dan mengatur logistik bagi proses pengundian di zon gempa, yang menempatkan kira-kira 14 juta orang.

Sementara itu, media Turki melaporkan enam pakatan yang dikenali Table For Six yang terdiri dari parti pembangkang akan mengumumkan nama calon mereka minggu ini bagi berdepan Erdogan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button