Berita Utama

Laksana segera Akta Pendanaan Politik kekang salah guna kuasa

Semua dana parti politik mestilah dari sumber sah: MCW

BANGI, 10 Syaaban 1444H, Jumaat – Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik bagi mengekang amalan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Karim berkata, akta itu penting untuk memastikan parti politik dapat beroperasi secara telus dan jujur dalam mengumpul serta perbelajaannya.

Beliau berkata, ini termasuk dalam menjaga integriti dan transparensi dalam sistem politik negara, demi memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan adil, selain meminimumkan penyalahgunaan kuasa.

“Rakyat faham dan tahu bahawa draf Akta Pendanaan Politik telah siap sejak tahun 2016, namun belum ada inisiatif untuk melaksanakannya.

“Parti politik terutamanya memerlukan perundangan tersebut dengan segera tambahan pula makin banyak kes melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan rasuah dikalangan ahli dan parti politik kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, MCW yakin kepercayaan rakyat terhadap kerajaan campuran diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meningkat, jika akta ini segera dilaksanakan.

“Inilah perintis kepada konsep Malaysia Madani. Kita mesti mencegah pengaruh yang tidak wajar akibat pendanaan yang tidak teratur dan terkawal.

“Semua sumber dana yang diterima oleh parti politik mestilah dari sumber yang sah dan tidak merosakkan proses demokrasi.

“Integriti dan kepercayaan terhadap sistem politik negara adalah sangat penting,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button