‘Musuh akan guna apa juga kaedah jatuhkan Bersatu’
Jika terima sumbangan satu kesalahan, bagaimana parti lain yang dapat dana?

BANGI, 10 Syaaban 1444H, Jumaat – Selagi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum disabitkan sebarang kesalahan, musuh politik parti itu tidak akan berhenti mengaitkan pimpinan dengan salah laku.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman percaya musuh politiknya akan menggunakan apa juga kaedah untuk menjatuhkan semua barisan pimpinan tertinggi parti.
Justeru katanya, Bersatu mahu melihat sejauh mana keadilan dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes membabitkan parti politik.
“Saya percaya mana-mana parti politik termasuk Bersatu terbuka menerima sumbangan, namun adakah SPRM dapat membuktikan ada permintaan rasuah daripada pemimpin parti kepada mereka yang memberi sumbangan ini.
“Jika parti politik tidak dibenarkan menerima sumbangan dan ia dilihat sebagai satu kesalahan, bagaimana dengan parti politik lain di negara ini yang menerima sumbangan dana?,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH).
Kenyataan Muhammad Faiz itu susulan tangkapan dan pendakwaan ke atas beberapa pemimpin Bersatu yang dikaitkan dengan rasuah kes Jana Wibawa.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkait projek Jana Wibawa.
Semalam, Bendahari Bersatu, Datuk Mohd Salleh Bajuri pula dilaporkan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz turut percaya bahawa siasatan hanya tertumpu kepada Bersatu dan tidak akan membabitkan parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Apa yang saya dengar siasatan tertumpu kepada Bersatu sahaja, parti lain saya tidak tahu,” katanya.