Berita Utama

Terengganu larang ahli politik guna masjid jadi pentas ceramah

Penceramah, khatib solat Jumaat perlu ada tauliah dari MAIDAM

KUALA TERENGGANU, 10 Syaaban 1444H, Jumaat – Terengganu melarang semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Dewan Negara menggunakan masjid serta surau di seluruh negeri sebagai pentas kuliah atau ceramah.

Menegaskan perkara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna.

Ia juga bagi mengelak pengisiannya termasuk kuliah dan ceramah bercampur dengan unsur politik kepartian.

“Masjid adalah sebuah institusi keagamaan yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam, selain lambang kepada penyatuan dan perpaduan umat Islam yang perlu dimakmurkan dengan sebaik mungkin.

“Justeru, masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan dan kegelisahan serta perselisihan di kalangan masyarakat.

“Ini termasuk menggunakan masjid dan surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti atau program yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa dukacita dengan pembabitan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan iman solat Jumaat tanpa kebenaran MAIDAM.

Justeru katanya, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau hendaklah memastikan penceramah, pengkuliah dan tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan MAIDAM.

“Hal sama terpakai untuk mana-mana program keagamaan dianjurkan agensi kerajaan termasuk jabatan kerajaan, badan berkanun kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di bangunan agensi atau tempat awam.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Unit Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah dikehendaki membuat pemantauan atas arahan dikeluarkan supaya ia dapat dipatuhi.

“Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) juga menyeru semua pihak supaya dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan dikeluarkan MAIDAM dan JHEAT,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button