Berita Utama

Tiga ditahan terbabit pembalakan haram di Kelantan

7 kes direkodkan di hutan simpan kekal, tiga lagi di tanah kerajaan

KUALA KRAI, 10 Syaaban 1444H, Jumaat – Tiga pembalak ditahan renjer perhutanan Kelantan kerana menjalankan pembalakan haram di hutan simpan kekal dan tanah kerajaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Abdul Wahab Deraman berkata, ketiga-tiga mereka ditahan dalam beberapa siri operasi di sini dan Gua Musang tahun lalu.

Jabatan itu turut merampas beberapa peralatan dan kenderaan yang digunakan dalam kegiatan haram berkenaan.

“Kami merekodkan 10 kes pembalakan haram sepanjang tahun lalu dan menahan tiga pembalak. Kami merampas kayu balak, peralatan dan kenderaan bernilai ribuan ringgit,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Wahab berkata, tujuh daripada 10 kes itu direkodkan dalam hutan simpan kekal dan tiga kes di tanah kerajaan. 

Hutan simpan itu ialah Sungai Durian, Gunung Stong dan Nenggiri.

“Renjer kami akan terus melakukan rondaan dan operasi penguatkuasaan untuk menghentikan aktiviti haram di dalam hutan,” katanya.

Difahamkan jabatan itu menggunakan dron dan teknologi lain, seperti Pemantauan Hutan Menggunakan Sistem Penderiaan Jauh (FMRS), dalam operasi mereka.

Pada 27 Februari, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Dewan Rakyat bahawa 90 kes pembalakan haram direkodkan tahun lepas, di mana 60 daripadanya di Sarawak.

Beliau berkata, Perak mempunyai jumlah kes kedua tertinggi iaitu 11, dan Kelantan 10.

Di Sabah, katanya, empat kes direkodkan diikuti dua di Selangor dan masing-masing satu di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Beliau memaklumkan, pesalah telah didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button