Berita Utama

ISMA kongsi pandangan bersama Pengerusi PN

Kesilapan pertama PN sempitkan muafakat hanya pada gabungan politik

BANGI, 11 Syaaban 1444H, Sabtu – Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tidak sepatutnya sekadar untuk memberikan pandangan, sebaliknya perlu diperluaskan ke peringkat menggubal dasar, polisi serta terbabit dalam mengurus negara.

Demikian antara pandangan yang disuarakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni dalam pertemuan bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Dalam sesi dialog yang turut dihadiri rakan NGO Islam lain itu, beliau menyatakan bahawa kesilapan pertama PN adalah kerana menyempitkan muafakat ummah hanya kepada gabungan parti-parti politik.

“Dari situ kekuatan muafakat tidak akan dapat dicapai dengan sempurna kerana di dalam masyarakat banyak lagi kumpulan manusia lain selain dari parti yang perlu dilibatkan sekali.

“NGO-NGO Islam sekarang dengan pengalaman puluhan tahun melihat aksi parti-parti politik sudah tidak percaya bahawa parti politik boleh mengurus negara dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Muhammad Fauzi turut menyarankan supaya suasana persaingan antara kerajaan dan pembangkang ke arah menjuarai isu-isu Islam dan Melayu seperti tahun 1980-an dan 1990-an dikembalikan.

Katanya, zaman itu ketika pembangkang melaungkan negara Islam, kerajaan pula mengangkat Islamisasi dan Islam Hadhari, yang jelas menguntungkan Islam serta Melayu.

“Tetapi, ianya bertukar kepada persaingan yang memberi kelebihan kepada idea-idea liberal. 

“Bila pembangkang kuat kembali melaungkan Malaysian Malaysia, kerajaan bertukar kepada slogan Satu Malaysia, Keluarga Malaysia dan lain-lain yang membawa persaingan dalam bentuk lain.

“Ini merugikan Islam dan Melayu jika berterusan begitu untuk jangka panjang seterusnya sebagaimana kita telah pun rugi sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pemerintah yang diberi mandat supaya melantik menteri dan pegawai yang kompeten melaksanakan tugas sebagai kerajaan.

“NGO Islam ingin tumpu banyak lagi isu lain dalam masyarakats selain dari isu politik dan pentadbiran negara.

“Tetapi jika jemaah menteri dan pegawai kerajaan tidak reti buat kerja, sama ada kerana tidak amanah atau tidak kompeten, NGO Islam terpaksa campur isu politik dan mengambil sikap menjadi pembangkang kepada kerajaan,” katanya.

Selain ISMA, pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu turut dihadiri wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button