Berita UtamaDunia

18 maut depoh bahan api terbakar di Jakarta

260 anggota bomba dan 52 jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian

JAKARTA, 12 Syaaban 1444H, Ahad – Indonesia meneruskan operasi pencarian mangsa yang kemungkinan terperangkap bawah runtuhan rumah dan bangunan susulan kejadian kebakaran di depoh simpanan bahan api ibu negara.

Tragedi itu telah meragut 18 nyawa setakat ini manakala puluhan yang lain dilaporkan masih hilang.

Stesen Simpanan Bahan Api Plumpang yang dikendalikan syarikat minyak dan gas milik kerajaan, Pertamina terletak berhampiran kawasan padat di Tanah Merah di utara Jakarta itu membekalkan 25 peratus daripada keperluan bahan api Indonesia.

Sehingga kini, 260 anggota bomba dan 52 jentera bomba dikerah ke kawasan berkenaan untuk memadamkan api bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan kejiranan.

Video kebakaran yang dimuat naik di saluran televisyen lewat Jumaat menunjukkan ratusan penduduk melarikan selepas melihat kepulan asap tebal memenuhi ruang udara.

Sementara itu, Pengurus Pertamina Jawa Barat, Eko Kristiawan berkata, siasatan awal menunjukkan kebakaran tersebut berlaku apabila saluran paip pecah ketika hujan lebat dan kemungkinan terkena petir.

Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berkata, mereka terhidu bau petrol yang kuat menyebabkan ada dalam kalangan penduduk yang muntah, diikuti bunyi petir sebelum letupan kuat sebanyak dua kali sekitar jam 8 malam Jumaat lalu.

Pasukan palang Merah Indonesia telah mengenal pasti 18 yang terkorban, sementara 49 yang lain sedang menerima rawatan di lima hospital, sebahagian daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Sementara itu Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi berkata, kira-kira 600 penduduk yang hilang tempat tinggal akan ditempatkan ke pusat perlindungan sementara di 10 pejabat kerajaan dan juga stadium.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button