Dua ceramah Ustaz Wadi di Selangor dibatalkan
Kuliah di KL, Putrajaya akan berjalan seperti biasa

BANGI, 12 Syaaban 1444H, Ahad – Kuliah pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar yang dijadualkan di Selangor pada 10 dan 11 Mac ini dibatalkan.
Perkara itu dimaklumkan Ustaz Wadi menerusi perkongsian di Facebook, namun tidak mendedahkan alasan dan sebab ceramah dibatalkan.
Dua kuliah berkenaan sepatutnya diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.
“Dimaklumkan semua ceramah al-fadhil Ustaz Wadi Annuar yang bertempat di negeri Selangor telah dibatalkan.
“Manakala ceramah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dijalankan seperti biasa.
“Segala kesulitan amat dikesali. Semoga Allah memberikan pahala kepada semua yang berniat untuk hadir majlis ilmu,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Pada 26 Februari lalu, pembatalan kuliah penceramah, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong mendapat perhatian apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarah supaya membatalkan kuliah Maghrib di masjid berkenaan.
Larangan kuliah berkenaan dibuat susulan Ustaz Azhar yang dikenali UAI tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.