Berita UtamaDunia

12,000 hilang tempat tinggal, kem pelarian Rohingya terbakar

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca kebakaran belum diketahui

DHAKA, 13 Syaaban 1444H, Isnin – Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal selepas kebakaran besar berlaku di kem pelarian Rohingya di tenggara Bangladesh pada Ahad.

Kebakaran – yang kini terkawal – memusnahkan 2,000 pusat perlindungan di kem Cox’s Bazar yang menyebabkan kira-kira 12,000 pelarian kehilangan tempat tinggal.

Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut pegawai tempatan, kebakaran berlaku dengan cepat berikutan keadaan kem yang menggunakan buluh dan terpal.

“Kira-kira 2,000 tempat perlindungan terbakar menyebabkan kira-kira 12,000 pelarian Rohingya yang berpindah dari keganasan di Myanmar kehilangan tempat tinggal,” kata Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mijanur Rahman.

Sementara itu, Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa memaklumkan terdapat kerosakan besar pada kem berkenaan.

Jurucakapnya, Hrusikesh Harichandan berkata, perkhidmatan asas seperti pusat air dan fasiliti lain turut terjejas.

Katanya, keadaan yang penuh sesak mendedahkan kem pelarian itu kepada kebakaran.

Antara Januari 2021 dan Disember 2022, terdapat 222 insiden kebakaran di kem Rohingya termasuk 60 kes pembakaran, menurut laporan Kementerian Pertahanan Bangladesh bulan lepas.

Pada Mac 2021, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan kira-kira 50,000 orang kehilangan tempat tinggal selepas kebakaran besar memusnahkan sebuh kem di penempatan itu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button