Berita Utama

Banjir: Sesi persekolahan 2023/2024 tidak ditangguh

Pelajar boleh ikuti PdPR dalam tempoh baik pulih sekolah terjejas

SEGAMAT, 13 Syaaban 1444H, Isnin – Tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, sekiranya kerja-kerja membaik pulih sekolah terjejas akibat banjir tidak sempat dilaksana sebelum tarikh tersebut, pelajar akan diberi pilihan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Terdapat 17 sekolah terjejas teruk akibat banjir di Johor dan Segamat merupakan paling teruk iaitu 14 sekolah manakala daerah lain, tiga sekolah. Saya fikir kami sedaya upaya akan melakukan kerja membaik pulih kerosakan dengan segera dalam tempoh dua minggu ini.

“Kami tidak akan menangguhkan sesi persekolahan tetapi kami bagi pilihan (jalani) PdPR supaya proses pembelajaran tetap berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Bali, Chaah, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak teknikal dan jurutera yang menilai, sekolah terjejas bukan sahaja mengalami kerosakan, malah kemusnahan aset termasuk melibatkan meja guru dan perkakas perabot.

Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac bagi negeri Kumpulan A (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor), manakala 20 Mac bagi negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir di tiga negeri merekodkan seramai 53,040 orang dengan Johor mencatatkan jumlah teramai iaitu 49,410 orang.

Sementara itu, Fadhlina berkata, menyedari keperitan mangsa banjir yang mengalami kerosakan barangan persekolahan termasuk pakaian, Kementerian Pendidikan akan memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas datang ke sekolah dengan menggunakan pakaian biasa.

“Kami ada pertimbangan manusiawi dan keinsanan, jadi mereka boleh datang ke sekolah dengan pakaian apa sekalipun asalkan mereka tetap pergi ke sekolah dan memulakan sesi persekolahan seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, beliau turut melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Chaah di sini.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button