Berita Utama

Cadangan naikkan kadar IPG akan diperhalusi

Kerajaan sentiasa fikir mekanisme bantu pekebun kecil getah

KUALA LUMPUR, 13 Syaaban 1444H, Isnin – Kementerian Perladangan dan Komoditi akan memperhalusi cadangan untuk menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG), namun ia tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Siti Aminah Aching berkata pada masa ini, kementerian akan melaksanakan paras harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) RM2.70 sekilogram seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekebun kecil getah yang pendapatan mereka akan terjejas jika harga getah merosot, justeru Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023 telah bersetuju menaikkan paras harga IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berhubung sama ada kerajaan bercadang menaikkan kadar IPG daripada RM2.50 ke RM4.50 ketika ini.

Mengakui bayaran IPG RM2.70 sekilogram belum boleh membantu pekebun kecil sepenuhnya, Siti Aminah berkata, kerajaan sentiasa memikirkan kaedah dan mekanisme bagi membantu pekebun kecil getah.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang ingin tahu perancangan kerajaan bagi menjamin kebajikan pekebun kecil memandangkan harga RM2.70 itu masih belum mencukupi untuk membantu kos sara hidup golongan tersebut.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button