Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

FINAS siasat penerbitan filem Mentega Terbang

Takkan kompromi jika ada pelanggaran didakwa hina Islam, hasutan

BANGI, 13 Syaaban 1444H, Isnin – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pelanggaran terhadap filem Mentega Terbang yang didakwa menghina Islam dan berbaur hasutan.

Memandang serius perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim telah mengarahkan siasatan penuh dilaksana terhadap penerbitan filem berkenaan.

Beliau berkata, proses siasatan yang dijalankan selari dengan Akta FINAS, terutama kepada perkara melibatkan peraturan pengeluaran dan pemameran filem.

“Bagaimanapun, siasatan tersebut tidak menjurus kepada kandungan filem kerana mana-mana filem yang tidak disiarkan di panggung wayang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa FINAS.

“Saya ingin menasihatkan agar semua penggiat industri lebih berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karya kreatif dan mematuhi segala garis panduan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“… di samping cakna kepada sensitiviti rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai latar belakang agama, bangsa dan budaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular sedutan babak dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islam untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar daripada Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak itu tular di media sosial dan mengundang kemarahan netizen yang mempersoalkan bagaimana filem sedemikian dibenarkan untuk tontonan umum.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menyerahkan kepada FINAS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap produksi filem berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button