Berita Utama

Jakim tak campur urusan tauliah mengajar agama Islam negeri

Tauliah diberi berpandukan undang-undang, prosedur sedia ada

BANGI, 13 Syaaban 1444H, Isnin – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tauliah mengajar adalah tertaluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri.

Jakim dalam kenyataan berkata, tauliah mengajar itu diberikan berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan prosedur sedia ada.

Sehubungan itu, Jakim menafikan pihaknya dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mencampuri urusan tauliah mengajar agama Islam di negeri-negeri seperti yang didakwa.

“Jakim mengambil perhatian terhadap isu tauliah mengajar agama Islam yang hangat diperkatakan di media pada ketika ini.

“Terdapat dakwaan yang mengaitkan isu tauliah ini melibatkan campur tangan pihak Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jakim,” katanya.

Serentak itu, Jakim meminta semua pihak akur serta menghormati sebarang ketetapan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri.

Semalam, media melaporkan dua sesi kuliah ceramah pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar di Selangor dibatalkan.

Pembatalan ceramah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor itu dimaklumkan Ustaz Wadi di Facebooknya, sehingga mencetuskan polemik dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Shahzihan Ahmad menjelaskan, pembatalan itu selaras dengan enakmen yang ditetapkan berkaitan pentaulihan mengajar di negeri berkenaan.

Katanya, nasihat yang diberikan kepada penganjur bagi sesi ceramah itu selaras ketetapan mengikut Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button