BERJASA syor kerajaan bangunkan 3 sektor jika ekonomi negara tak gawat
Tumpu perkhidmatan 'online', teknologi komunikasi maklumat dan kesihatan

BANGI, 14 Syaaban 1444H, Selasa – Kerajaan perlu mengambil peluang membangunkan tiga sektor terpenting sekiranya negara tidak mengalami kegawatan ekonomi tahun ini, kata Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif.
Beliau menggariskan sektor yang perlu diberikan tumpuan iaitu perkhidmatan atas talian, teknologi komunikasi maklumat dan perkhidmatan kesihatan serta hospitaliti.
Katanya, sektor perkhidmatan atas talian berpotensi untuk berkembang dan dibangunkan memandangkan ia mendapat sambutan sejak wabak COVID-19 sehingga kini, atas faktor penjimatan kos serta pengurangan tempoh masa pergerakan.
“Bagi sektor teknologi komunikasi maklumat pula, seeloknya ia diperluaskan kepada sektor kerajaan dan swasta agar manfaat bersama boleh diperoleh seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan (Cloud Computing).
“Dengan wujudnya penyedia perkhidmatan infrastruktur teknologi ini di Malaysia seperti Telekom Malaysia, AWS, Microsoft dan Google, ia mampu memacu pemain industri untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan, sekali gus membawa limpahan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat semalam, bahawa Malaysia dijangka tidak akan mengalami kegawatan ekonomi tahun ini.
Ahmad berkata, takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal ada apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
Menurutnya, berdasarkan prestasi pertumbukan ekonomi pada kadar 8.7 peratus tahun lepas, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus untuk 2023.
Mengulas lanjut, Mohd Hamdan turut menyarankan kerajaan supaya terus memantapkan sektor perkhidmatan dan hospitaliti negara ini.
“Industri ini akan terus berkembang pesat sejajar dengan perkembangan bilangan rakyat Malaysia, perkembangan peranti dan teknologi kesihatan, penambahan kepakaran dan ekosistem kesihatan yang baik di Malaysia berupaya menarik pesakit dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.
“Bukan itu sahaja, malahan industri berasaskan hospitaliti juga mampu berkembang pesat jika diberi perhatian dan pembangunan bersepadu merangkumi industri penerbangan, perhotelan dan pengangkutan (penerbangan dan lain-lain),” katanya.