
BANGI, 14 Syaaban 1444H, Selasa – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengumumkan keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2022 pada Khamis (9 Mac), jam 3 petang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, majlis pengumuman keputusan itu akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga boleh menyemak rumusan keputusan calon bermula jam 4 petang pada Khamis melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPKK<jarak>Nombor Kad Pengenalan dan dihantar kepada 15888.
Katanya, semakan juga boleh dibuat melalui laman sesawang di pautan https://semakan.islam.gov.my/ dengan menggunakan nombor MyKid atau nombor kad pengenalan khas dan nombor angka giliran.
“Ibu bapa atau penjaga boleh mendapatkan slip keputusan UPKK 2022 daripada pihak sekolah masing-masing bermula 10 Mac jam 9.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.