Dunia

Maghribi buka makmal ganja pertama untuk perubatan, perindustrian

Permit penggunaan ganja diperoleh pada Oktober 2022

RABAT, 14 Syaaban 1444H, Selasa – Maghribi pada Isnin merasmikan makmal ganja pertama negara itu, khusus untuk kegunaan perubatan dan industri, lapor agensi berita Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Koperasi Bio Cannat berkata, makmal di bandar Chefchaouen di barat laut akan digunakan untuk memproses ganja dalam industri makanan dan farmaseutikal.

Katanya, makmal itu telah memperoleh permit penggunaan ganja dalam industri dan perubatan pada Oktober 2022.

Ia memaklumkan, bahan itu akan digunakan dalam industri makanan, perindustrian, perubatan dan paramedik kerana mempunyai banyak manfaat yang terbukti secara saintifik dalam melegakan kesakitan.

“Akan ada eksperimen dengan beberapa petani di Chefchaouen untuk menyediakan benih yang dimaksudkan bagi tujuan ini,” katanya.

November lalu, Kementerian Dalam Negeri berkata, usahanya untuk mengekang perdagangan ganja haram telah menyebabkan penurunan kira-kira 80 peratus dalam penanamannya.

Tahun lepas, Maghribi melancarkan rancangan untuk ganja digunakan dalam perubatan dan industri.

Ia juga meluluskan undang-undang untuk menghalalkan penggunaan bahan itu dalam industri dan perubatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button