Dunia

Menteri Israel arah roboh rumah Palestin ketika Ramadan

Polis Israel beri amaran ketegangan boleh kembali tercetus

RAMALLAH, 14 Syaaban 1444H, Selasa – Menteri Keselamatan negara haram Israel, Itamar Ben-Gvir mengarahkan polis meneruskan perobohan rumah Palestin yang kononnya dibina secara haram di Baitulmaqdis Timur ketika bulan suci umat Islam, Ramadan.

Sebelum ini, Israel tidak melaksanakan tindakan perobohan ketika bulan Ramadan untuk mengelakkan ketegangan dengan rakyat Palestin.

Bagaimanapun, media Israel melaporkan bahawa tahun ini polis akan mengikuti arahan Ben Gvir dan merobohkan rumah Palestin di Baitulmaqdis Timur meskipun dalam beberapa tahun kebelakangan ini ketegangan telah meningkat berhubung pencabulan Israel di Masjid Al-Aqsa.

Walaupun rakyat Palestin melihat dasar perobohan itu adalah untuk menghalau mereka keluar dari Baitulmaqdis Timur dan mengukuhkan penjajahan rejim di bandar itu, tetapi pihak berkuasa Israel menganggap rumah terbabit dibina secara haram serta tanpa permit.

The Times of Israel melaporkan bahawa polis Israel telah memberi amaran kepada Ben Gvir bahawa Ramadan semakin hampir, dan hari perayaan Paskah Yahudi juga akan  berlaku yang boleh menyebabkan keadaan menjadi tidak menentu.

Ramadan dijangka bermula pada 23 Mac, manakala Paskah ditetapkan pada 5 April.

Israel menjajah Baitulmaqdis Timur ketika Perang Arab-Israel 1967. Ia menggabungkan seluruh bandar pada tahun 1980 dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Undang-undang antarabangsa menganggap kedua-dua Tebing Barat dan Baitulmaqdis sebagai wilayah pendudukan dan semua aktiviti pembinaan penempatan Yahudi adalah tidak sah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button