Berita Utama

Denda, penjara jika ceramah tanpa tauliah di Johor

Selain penceramah, penganjur acara juga dikenakan tindakan undang-undang

BANGI, 15 Syaaban 1444H, Rabu – Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) boleh mengambil tindakan undang-undang bukan sahaja ke atas individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah, bahkan kepada penganjur acara atau program berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj), Jamaluddin A Hamid.

Kenyataan itu sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi penegasan terhadap penceramah yang perlu memilki tauliah mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri berkenaan,

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tauliah itu meliputi masjid dan surau serta mana-mana tempat dalam negeri Johor.

“Antara kaedah mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng dari hukum syarak di negeri Johor ini ialah mereka yang mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri Johor atau apa-apa tentang agama Islam hendaklah memiliki tauliah dari Majlis Agama Islam Negeri Johor.

“Ini selaras dengan Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003,” katanya.

Kenyataan berkata, individu yang mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah boleh dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, mana-mana orang yang bertindak sebagai penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah tidak bertauliah, adalah melakukan suatu kesalahan penyubahatan sebagaimana Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997,” katanya.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, sebagaimana dinyatakan di Seksyen 45 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Oleh itu, masyarakat Islam di negeri Johor hendaklah mematuhi undang-undang yang telah dikanunkan ini, demi memastikan syiar Islam yang benar dan betul ditegakkan dan dilaksanakan di negeri Johor berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button