Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pemimpin didakwa lagi, ISMA bimbang peristiwa politik sama berulang

Keadaan dijangka makin rumit, formula penyelesaian makin kabur

BANGI, 16 Syaaban 1444H, Khamis – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni melahirkan kebimbangan dengan corak kepimpinan politik hari ini yang kian menjurus kepada perbuatan menjatuhkan seseorang pemimpin.

Menilai keadaan semasa, beliau berkata, pendekatan yang diamalkan kerajaan kini lebih terarah kepada politik semata-mata sehingga dibimbangi akan menyebabkan pembangunan negara jauh tersasar dan terabai.

“Mungkin kita akan terus menyaksikan peristiwa yang sama dengan aktor yang berbeza untuk beberapa tahun akan datang ini dan keadaan itu akan semakin rumit, dengan formula penyelesaian yang makin kabur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pengesahan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan memberi keterangan kepada SPRM dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Rentetan isu ini, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, peristiwa ini seolah mengimbau kembali kejadian pertama melibatkan penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawat Timbalan Perdana Menteri.

Presiden PKR itu dipecat dan dihadapkan dengan pertuduhan sekitar tahun 1990-an.

“Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dihadapkan dengan pertuduhan hujung 90 dahulu, saya menyambut berita itu dengan resah dan tidak selesa. Tidak kira betul atau salah, kedua-dua andaian merugikan survival umat Islam Malaysia.

“Begitu juga penahanan Datuk Seri Najib Razak, semuanya menunjukkan buruk negara ketika itu.

“Hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula bakal dihadapkan ke mahkamah. Sekali lagi saya rasa tidak selesa dan bercampur baur. Betul atau salah pertuduhan itu, keduanya menunjukkan kualiti sebenar permainan politik negara kita,” katanya.

Dengan berulangnya kembali permainan politik seperti ini, Ustaz Muhammad Fauzi melihat usaha untuk menyelesaikan negara semakin jauh tersasar.

Malah, beliau berpandangan, budaya yang rosak dalam politik dan pentadbiran negara sudah menjadi suatu yang normal dan sukar ditolak.

“Seruan untuk menaikkan pimpinan yang amanah tidak laku. Seruan untuk menolak pimpinan yang korup juga tidak laku. Seruan untuk kesatuan umat dalam format yang luas tidak laku.

“Begitu juga seruan untuk menyenaraikan siapa musuh Islam di negara ini tidak laku. Dan banyak lagi seruan-seruan yang asas…. hampir rata-rata tidak laku.

“Mungkin inilah zaman yang digambarkan oleh Rasulullah ﷺ sebagai zaman yang orang-orang baik kebingungan tidak tahu nak buat apa.

“Moga Allah kurniakan kepada kita keyakinan yang tidak pudar bahawa Islam akan kembali berdaulat walau apa juga yang berlaku. Apabila keadaan terlalu parah, kita akan berperang dengan diri sendiri di dalam isu keyakinan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button