Pendakwaan terhadap Muhyiddin disifatkan tergesa-gesa
PAS, rakan sekutu komited dukung politik secara matang, bela golongan dizalimi

BANGI, 17 Syaaban 1444H, Jumaat – PAS Selangor menyifatkan pendakwaan tergesa-gesa ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin hanya bertujuan mengekang suara oposisi selain menjejaskan reputasi PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, partinya mendukung prinsip kedaulatan undang-undang negara.
Beliau juga berkata, PAS yakin pihak berwajib berhak untuk menyiasat mengikut undang-undang negara.
“Namun kuasa itu mesti dilaksanakan dengan melibatkan kes tulen dan bukan memilih kes atas agenda dan kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan Shahir menyifatkan pendakwaan yang dilakukan itu secara tergesa-gesa selari dengan naratif ‘hoi ya hoi di sebelah sana’ yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023.
Dalam pada itu, beliau menyatakan solidariti terhadap Muhyiddin yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
Roslan Shahir menyatakan, PAS dan rakan sekutunya di Selangor komited dalam mendukung budaya politik matang, sejahtera dan akan terus membela golongan yang dizalimi.
Semalam, Presiden Bersatu itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen.
Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin selain memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes.