Berita Utama

Cagaran KWSP hanya untungkan golongan bank, rakyat tetap terjerat hutang

BERJASA cadang pengeluaran KWSP bersasar tanpa syarat

BANGI, 17 Syaaban 1444H, Jumaat – Hanya golongan tertentu seperti bank dan elit sahaja yang akan mendapat keuntungan sekiranya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan menggunakan wang tersebut sebagai cagaran pembiayaan kewangan.

Menyelar cadangan kerajaan, Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad menyifatkan ia lebih berkiblatkan Barat yang kapitalis ekonomi.

“Idea tersebut hanya menjerat rakyat dan menguntungkan golongan elitis dan bank sahaja namun tidak mampu membantu menyelesaikan masalah rakyat yang semakin terhimpit, hari ini.

“Kita tahu ramai rakyat di negara ini memiliki simpanan KWSP yang sangat terhad dan kita tidak tahu faedah yang dikenakan oleh bank.

“Selain banyak lagi yang samar dalam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang ‘terdesak’ untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Tidak bersetuju dengan langkah itu, Muhammad Lukman mengesyorkan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar tanpa syarat kepada rakyat yang terdesak.

Katanya, solusi yang lebih tuntas adalah dengan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar tanpa syarat selain menyediakan pinjaman mikro.

“Itu cadangan yang bernas dan boleh dilakukan di negara ini,” katanya

Statistik sebelum ini menunjukkan kira-kira dua juta pencarum KWSP hari ini memiliki kurang RM10,000 dalam akaun dan 71 peratus daripada mereka hanya memiliki kurang daripada RM50,000.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button