Berita Utama

Hamzah Zainuddin tepis spekulasi akan dipanggil SPRM

‘Tiada sebab saya hendak dipanggil SPRM’

BANGI, 17 Syaaban 1444H, Jumaat – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan spekulasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah MAlaysia (SPRM) akan memanggilnya untuk siasatan.

Katanya, tiada sebab agensi berkenaan memanggilnya untuk melakukan siasatan.

“Hentikan spekulasi tidak berasas. Tiada sebab saya hendak dipanggil SPRM,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Larut itu berkata, pendakwaan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan ahli dan perwakilan.

“Sesiapa pun yang didakwa, parti ini akan tetap menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran, bukan dikira siapa bakal didakwa.

“… sesiapapun yang didakwa secara salah, kami akan pertahankan,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, meliputi empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dua penjamin selain memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 26 Mei untuk sebutan semula kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button