Berita UtamaDunia

Peneroka haram Israel gali telaga kampung rakyat Palestin, ‘taktik’ ambil alih kawasan

Sengaja tetapkan 46 peratus kawasan Lembah Jordan sebagai zon ketenteraan tertutup

LEMBAH JORDAN, 17 Syaaban 1444H, Jumaat – Peneroka haram terus melakukan kerja penggalian telaga sebagai ‘taktik’ untuk mengambil alih kawasan berkenaan di timur kampung Ein el-Beida, utara Lembah Jordan.

Menurut aktivis tempatan, Aref Daraghmeh, peneroka haram Yahudi telah melakukan kerja-kerja penggalian berkenaan sejak dua minggu di kawasan Khirbet Ad-Dair.

Situasi itu dibimbangi akan menyebabkan hak petani-petani Palestin dinafikan.

Di bawah undang-undang antarabangsa, menghalau penduduk dari rumah mereka dianggap pemindahan paksa dan merupakan jenayah perang.

Namun, penduduk Palestin di Lembah Jordan sudah tidak asing lagi dengan dasar Israel yang sering mengganggu mereka.

Kawasan Lembah Jordan yang merupakan kawasan subur yang mengalir ke sepanjang Sungai Jordan merupakan penempatan kepada kira-kira 65,000 penduduk Palestin dan kira-kira 30 peratus daripada Tebing Barat.

Sejak 1967, Israel telah memindahkan 11,000 peneroka haram ke Lembah Jordan dan sebahagian daripada mereka membina kediaman di atas tanah milik rakyat Palestin.

Malah, Israel juga menetapkan 46 peratus daripada kawasan Lembah Jordan itu sebagai zon ketenteraan tertutup dan menggunakan alasan berkenaan untuk memindahkan penduduk Palestin.

Kini kira-kira 6,200 penduduk Palestin yang tinggal di 38 komuniti di kawasan zon tertutup itu perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Israel untuk memasuki dan tinggal di kawasan berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button