Artikel KhasBerita Utama

Pinjam bank dengan cagaran KWSP jebak rakyat dalam masalah baharu

Sistem wakaf ada potensi besar selesai banyak masalah ekonomi rakyat

1. HARI ini mungkin ada antara kita yang masih tergamam dengan cadangan Perdana Menteri kesayangan kita untuk sesiapa yang ada masalah kewangan membuat pinjaman bank dengan mencagarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  mereka. Saya bukan pakar ekonomi, tapi saya rasa idea itu agak ganjil. Dan saya antara yang masih tergamam.

2. Tergamam disebabkan lontaran idea menyelesaikan masalah dengan berhutang dari bank, itu yang pertama. Tergamam kerana ia keluar dari mulut seorang Perdana Menteri, itu yang kedua. 

Tapi saya yakin akan ada orang yang mempertahankan idea tersebut. Saya tunggu untuk memahaminya.

3. Hutang adalah satu bentuk muamalat yang halal. Biasanya dilakukan bila terdesak. Begitu juga dengan hutang yang ada gadaian, halal dan dibenarkan syarak kerana memang ada masanya manusia akan perlukannya. Tetapi hutang bercagar dan ada pulangan riba, itu adalah dilarang keras oleh syariat. Elakkanlah walaupun akal kita tidak memahami hikmahnya.

4. Memastikan rakyat hidup dalam kecukupan adalah tanggungjawab pemerintah. Pelbagai usaha perlu dilakukan; meneroka sumber asli negara, menyediakan peluang pekerjaan, memberikan latihan dan kemahiran hidup dan lain-lain lagi usaha. 

5. Sistem zakat dan pengurusan baitul mal negara kita diletakkan di bawah tanggungjawab pemerintah kerana di situ terdapat sumber yang banyak untuk digunakan kembali memenuhi keperluan rakyat.

6. Sistem wakaf juga diletakkan di bawah pengurusan pemerintah. Di situ juga terdapat potensi yang besar untuk menyelesaikan banyak masalah ekonomi rakyat.

7. Satu lagi yang mungkin kita terlepas pandang adalah sistem atau budaya takaful tanpa caruman. Ia adalah budaya yang amat asas dalam masyarakat Islam iaitu budaya tolong-menolong melepaskan seseorang daripada kesulitan.

8. Kewajipan adalah suatu yang boleh menurun menurut pandangan ulamak. Kewajipan pemerintah jika mereka tidak selesaikan, kewajipan itu turun kepada pegawai-pegawai di bawah mereka. Jika pegawai-pegawai itu juga tidak selesaikan, kewajipan itu turun kepada pimpinan daerah. Dan begitulah seterusnya hingga akhirnya kewajipan itu turun ke bahu seorang warganegara biasa.

9. Dalam kes rakyat yang kesulitan seperti sekarang… nampaknya pemerintah melontarkan idea yang akan menyusahkan lagi rakyat. Tidak nampak ada idea baru untuk meringankan kesulitan. Dari situ mungkin kewajipan sudah turun ke bahu rakyat biasa, di situlah perlunya untuk mengaktifkan sistem takaful dalam masyarakat. Ini usaha yang boleh dilakukan oleh rakyat.

10. Jika institusi dalam masyarakat memainkan peranan takaful ini, mungkin sebahagian kesulitan rakyat itu boleh diringankan. Masjid, surau, jawatankuasa penduduk, pertubuhan bukan kerajaan kepada ahlinya, kesatuan sekerja, badan-badan amal dan lain-lain seumpamanya adalh antara institusi yang boleh memainkan peranan ini.

11. Ada kalanya keperluan yang diperlukan oleh seseorang itu mungkin hanya beberapa ribu. Takaful dari badan atau institusi dalam masyarakat menyelesaikan terus masalahnya. Meminjam daripada bank dengan cagaran KWSP pula akan menjebak beliau dalam masalah baharu selepas satu tempoh.

12. Tetapi walaupun rakyat akhirnya berjaya menyelesaikan kesulitan sesama rakyat, kewajipan pemerintah tetap suatu yang akan ada hisabnya di akhirat nanti.

Fikir-fikirkan…. 

Salam Jumaat Mubarakah

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button