Isu integriti takkan selesai selagi ada pendakwaan terpilih
Uniknya Malaysia menteri didakwa selepas bergelar 'bekas'

PERTAMA sekali, saya menghargai apa yang cuba dibuat oleh kerajaan (dan mana-mana kerajaan) untuk menghapuskan rasuah dan salahguna kuasa.
Memang selama ini negara terpalit dengan pelbagai isu yang melibatkan intergriti sehingga menyebabkan negara tidak dapat membangun sebagaimana yang sepatutnya.
Walhal negara mempunyai pelbagai sumber alam yang begitu berpotensi untuk dibangunkan. Emas, minyak, gas, ‘rare earth’, pasir silika dll antara sumber asli yang begitu bernilai yang memapu memberikan pulangan yang tinggi.
Andai kata tidak berlaku ketirisan yang melampau saya yakin reserve negara bukan hanya setakat RM260 bilion tetapi mungkin boleh mencecah RM1 trillion.
Bayangkan, berapa banyak kemudahan yang negara boleh bagikan kepada rakyat jika negara mempunyai kekuatan kewangan yang tinggi.
Pelajaran percuma, kemudahan perubatan percuma, kemudahan perumahan adalah antara perkara yang didambakan rakyat.
Tak perlu kita mengambil konsultan luar untuk memberikan nasihat kerana negara mempunyai pakar-pakar yang setanding dengan pakar antarabangsa.
Namun, pemerintah perlu berlaku adil dan dilihat adil dalam usaha meningkatkan nilai intergriti. Keadilan merupakan nilai utama dalam syariah Islam.
Dalam Islam, keadilan bukan sahaja dalam perundangan tetapi juga politik, sosial, ekonomi dan lain2. Kalau hendak dihuraikan konsep keadilan Islam memang panjang tetapi saya yakin ramai yang sudah faham. Apa yang perlu ialah penterjemahannya dalam realiti kehidupan.
Apa yang terpenting ialah rakyat perlu diberikan keyakinan tentang kesungguhan pemerintah. Ini hanya boleh terjelma apabila usaha ini dibuat secara menyeluruh tanpa mengira kawan atau lawan, yang duduk di seberang atau sebelah kiri dan kanan, yang berjanggut atau tidak, yang berkulit putih atau sawor matang, yang di utara mahu pun di selatan, yang merah atau yang biru.
Sejak dulu sehingga sekarang rakyat masih sangsi terhadap kesungguhan ini. Pemerintah masih di lihat membuat pendakwaan terpilih sebagaimana yang pemerintah sendiri pernah membuat kenyataan terhadap pemimpin terdahulu.
Jadi seolah-olah perkara itu berulang semula sama macam dulu; bak kata orang utara ‘pi mai pi mai tang tu jugak’. Ini yang mencuakkan rakyat dan menyebabkan isu intergriti tidak selesai sampai ke hari ini.
Jadi yang dikatakan ‘reformer’ itu belum betul-betul dilhat bersungguh untuk reform. Lebih malang apabila yang sudah dikaitkan dengan isu intergiti nanti akan dilepaskan dengan mudah. Ramai pihak yang menjangkakan hal ini.
Ini satu cabaran besar kepada pihak pemerintah jika benar-benar mahu memulihkan negara dan keyakinan rakyat. Jika tidak maka semua yang berlaku ini tidak lebih daripada sekadar ‘political game’ yang memualkan.
Saya tertarik dengan pengalaman negara jiran di mana seorang yang masih berjawatan Timbalan Menteri sendiri telah dipenjara disebabkan rasuah, bukan ‘bekas’. Yang uniknya di negara ini ialah yang kena selalunya ‘bekas’.
Jadi seruan saya, berlaku adillah kepada semua; rakyat melihat dan menilai.
Aminuddin Yahaya
Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA)