Berita Utama

Kes Muhyiddin pendakwaan terpilih, bukan seperti Najib

'Orang Melayu lebih pandai nilai, mana permata dan kaca'

BANGI, 18 Syaaban 1444H, Sabtu – Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan bahawa kes membabitkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini bersifat pendakwaan terpilih.

Justeru, beliau mengingatkan perwakilan parti dan rakyat bahawa kes pendakwaan Muhyiddin jauh berbeza dengan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, kes Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak sama dengan skandal kewangan terbesar dunia iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya ingin ingatkan bahawa Tan Sri Muhyiddin bukan seperti Datuk Seri Najib, jauh sekali terlibat dalam skandal kewangan terbesar di dunia seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Orang Melayu lebih pandai menilai mata dan permata dan mana yang kaca,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, pendakwaan ke atas Muhyiddin dilakukan kerana ketakutan melampau terhadap pengaruh Bersatu dalam politik Melayu.

Pada masa sama, beliau yakin Muhyiddin adalah individu yang kuat semangat dan tidak mudah mengalah.

“Sama-sama kita doakan agar presiden kita dikurniakan kekuatan dalam tempuhi ujian yang dihadapi.

“Kita akan pertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal mengemudi Bersatu. Kita akan lawan Anwar Ibrahim dan kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Semalam, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button