Berita Utama

Muhyiddin pertahan dakwaan terhadap Guan Eng isu cukai Yayasan AlBukhary

Dakwa Guan Eng bertanggungjawab atas LHDN ketika jadi menteri kewangan

BANGI, 18 Syaaban 1444H, Sabtu – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempertahankan dakwaannya selepas Lim Guan Eng menafikan tuduhan membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi menteri kewangan.

Semalam, Guan Eng berkata, dia mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhyiddin jika gagal membuktikan dakwaannya itu.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak mengeluarkan sebarang arahan spesifik membatalkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan BN kepada Yayasan Albukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Bolehkah Muhyiddin tunjuk surat di mana saya keluarkan arahan sebagai Menteri Kewangan untuk membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary?,” kata Guan Eng dalam kenyataan semalam.

Merujuk kenyataan Pengerusi DAP itu, Muhyiddin dalam kenyataan hari ini pula berkata, Guan Eng tidak menyentuh langsung intipati mengenai apa yang beliau katakan.

Menurut Muhyiddin, beliau menerima satu surat rayuan daripada Yayasan Albukhary ketika menjadi Perdana Menteri.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak yayasan telah menerima pengecualian cukai untuk kerja-kerja amal Islam.

“Pengecualian cukai tersebut diberikan di bawah S.127 (3A) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Beliau berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa pada Mei 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan cukai yang telah diberikan sebelum ini, dengan mengenakan semula cukai berserta 45 peratus cukai penalti terhadap Yayasan Albukhary.

“Lim Guan Eng merupakan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas LHDN pada masa itu.

“Oleh itu, beliau bertanggungjawab terhadap keputusan untuk mengenakan semula cukai dan cukai penalti 45 peratus ke atas Yayasan Albukhary yang merupakan sebuah pertubuhan yang melakukan kerja-kerja amal Islam,” katanya.

Muhyiddin dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis untuk direkodkan kenyataannya, dan antara isu yang dibangkitkan adalah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa atas tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan itu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada masa itu, Muhyiddin berkata, pengecualian cukai berkenaan dibatalkan oleh menteri kewangan ketika pentadbiran PH pada 2018.

Apabila beliau menjadi Perdana Menteri, beliau berkata, Syed Mokhtar merayu kepadanya untuk menarik balik pembatalan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button