Berita UtamaDunia

Pelajar Afghanistan terpaksa berhijrah ke Pakistan lanjut pengajian

Ribuan golongan wanita terkesan, Taliban sekat akses pendidikan

PESHAWAR, 18 Syaaban 1444H, Sabtu – Ribuan wanita muda dan kanak-kanak perempuan Afghanistan berhijrah ke Pakistan untuk melanjutkan pengajian, selepas pemerintah Taliban menyekat akses pendidikan mereka.

Minggu ini, pelajar Afghanistan menggesa Taliban membenarkan golongan wanita melanjutkan pengajian ke universiti dan membuka jalan ke arah pembangunan negara.

6 Mac lalu, sesi baharu pengajian universiti dibuka selepas cuti musim sejuk, namun hanya terhad kepada pelajar lelaki.

“Kami mahu pentadbiran Taliban menghormati wanita seperti dalam Islam memberikan hak kepada wanita.

“Oleh itu, membenarkan pendidikan kepada wanita adalah selaras dengan Islam,” kata Naureena Bibi yang kini berhijrah ke Pakistan sejak Jun dan sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Peshawar.

Seorang lagi pelajar mengimbas kembali bagaimana dia dan adik-beradik lain dihantar ke Pakistan untuk melanjutkan pengajian.

“Dengan rampasan kuasa di Afghanistan, wanita seperti diganggu. Ibu bapa saya sangat mengambil berat mengenai adik beradik kami kerana tentera sering mengganggu pelajar wanita ketika mereka ke sekolah,” kata Shahren Bibi.

Pelajar Gred 12 itu menambah, tindakan Taliban sesat dan menyebabkan ibu bapanya meninggalkan Afghanistan bagi membolehkan anak-anak perempuan melanjutkan pengajian.

Katanya, jika situasi berlarutan negara akan terus mundur dan tiada doktor dan jururawat wanita yang boleh merawat pesakit.

Menurutnya, ramai ahli keluarga terdekat berhijrah ke Peshawar dan melanjutkan pengajian di sana.

Bandar peshawar terletak berhampiran sempadan Afghanistan dan kini menjadi destinasi pilihan kepada wanita dan pelajar perempuan untuk menyambung pengajian.

Selepas Taliban mengambil alih pentadbiran pada Ogos 2021, mereka melarang wanita dan kanak-kanak menyambung pengajian di peringkat tinggi dan universiti, sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button