Berita Utama

Polisi cagaran tidak sah tanpa pindaan Akta KWSP

Seksyen 51 perlu dibawa ke Parlimen untuk dipinda dulu

BANGI, 18 Syaaban 1444H, Sabtu – Sebarang pelaksanaan polisi baharu untuk membenarkan cagaran menggunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak sah tanpa meminda akta sedia ada.

Ini kerana, Seksyen Akta KWSP 1991 perlu dipinda sebelum menjadikan wang persaraan itu sebagai cagaran untuk pinjaman bank, kata Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Jika merujuk kepada Seksyen 51 Akta KWSP 1991, beliau berkata, tiada peruntukan yang membolehkan wang simpanan itu dicagarkan kecuali perintah pelucutan hak mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“Sekiranya polisi cagaran KWSP kepada bank ingin dilaksanakan kerajaan, maka Seksyen 51 itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dipinda terlebih dahulu.

“Ia tidak perlu dipinda jika ada dinyatakan menteri boleh membenarkan (kaedah ini) untuk tujuan tertentu kerana tertakluk kepada kuasa menteri, tetapi saya melihat tidak ada peruntukan khusus kepada menteri untuk mengatasi Seksyen 51 itu,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Pada masa sama, Prof Nik Ahmad Kamal berkata, sebarang keputusan kerajaan untuk benarkan kaedah perlu mengambil kira semua aspek termasuk tidak mengetepikan kewujudan Seksyen 51.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan yang mahu menjadikan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank kepada peminjam yang terdesak.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.

Berdasarkan maklumat pada laman sesawang KWSP dengan merujuk Seksyen 51 (1), caruman dan deposit tidak boleh diserah hak atau ditahan walau apa jua berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain boleh diserah hakkan, dipindahkan, ditahan, disekuesterkan atau dilevi ke atasnya, bagi atau berkenaan dengan apa-apa hutang atau sebarang tuntutan.

Pegawai Pemegang Harta juga tidak berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas sebarang jumlah wang atau amaun berkenaan.

Namun di bawah Seksyen 51 (2) diperuntukkan, apa pun subseksyen (1), amaun yang ada pada kredit seseorang ahli KWSP di bawah perenggan (1)(c) boleh dilucutkan hak jika amaun yang ada pada kredit ahli itu adalah tertakluk kepada suatu perintah pelucutan hak oleh mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button