
BANGI, 19 Syaaban 1444H, Ahad – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu.
Pelantikan itu disahkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri sudah menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang dilaksanakan di pejabat kementerian pada Jumaat.
“(Asyraf Wajdi) telah dilantik, bukan desas-desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah serah watikahnya pada Jumaat yang lalu.
“Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Sementara itu, Asyraf Wajdi dalam kenyataan di laman sosial Facebook mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan tahniah berhubung pelantikan berkenaan.
Dengan pengalaman dalam dunia akademik, korporat perbankan dan kewangan serta politik, beliau berjanji membantu memperkasakan Mara sebagai institusi penting yang memfokuskan pembangunan modal insan, pendidikan, keusahawanan dan agenda memberdaya ekonomi serta politik Melayu-Bumiputera.
“Cuma saya dengan rendah hati memohon doakan agar dapat saya melaksanakan amanah yang berat ini dengan berkesan, penuh berintegriti dan yang paling utama sentiasa diberkati Allah.
“Terima kasih kepada YAB Datuk Seri Zahid Hamidi dan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan ini,” katanya.