Berita Utama

Faedah tinggi jika cagar KWSP

Cadangan kerajaan hanya galakkan rakyat tambah beban hutang

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Syaaban 1444H, Isnin – Langkah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan persaraan sebagai cagaran pinjaman peribadi hanya lebih menyusahkan mereka yang dalam keadaan terdesak. 

Ini kerana, pencarum yang membuat pinjaman bercagar berkemungkinan berdepan dengan kadar faedah yang tinggi daripada pihak bank.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob bimbang sekiranya kadar dividen yang diterima daripada caruman lebih rendah daripada kadar faedah dikenakan ke atas pinjaman, yang akhirnya bakal merugikan pencarum.

“Contohnya, dividen yang diterima adalah sebanyak empat peratus, tetapi faedah bank lima peratus, maka peminjam perlu menambah bayaran.

“Justeru, bagi saya langkah ini tidak membantu kerana hanya menggalakkan orang meminjam dan menambah hutang sedia ada,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya pihak bank terbuka untuk memberikan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah atau tidak lebih tiga peratus, maka mungkin langkah itu masih boleh dipertimbangkan untuk individu terdesak yang memerlukan sumber kewangan.

“Namun, saya berpandangan bahawa pelbagai alternatif lain boleh diambil selain memilih langkah pinjaman bercagar ini, seperti menambah sumber pendapatan melalui pekerjaan sampingan.

“Jika pendapatan kerja sekarang kecil, cari kerja baharu atau buat dua kerja dan buat perniagaan kecil-kecilan secara sampingan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di KWSP sebagai cagaran.

Kaedah membenarkan simpanan KWSP sebagai cagaran untuk pinjaman bank itu hanya diberikan kepada individu tertentu dan tertakluk sebagai kes mendesak.

Bagaimanapun langkah ini dikritik pelbagai pihak, dan Anwar mempertahankannya dengan menegaskan, cagaran pinjaman peribadi ini tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button