Jawapan bodoh menteri begitu meloyakan
Agama mana pula yang benarkan bikini dan arak ini?

PERTANYAAN Ahli Parlimen dan jawapan bodoh menteri berkaitan dengan pelancong seolah-olah apabila datang melancong ke negara kita, mahu berbikini dan minum arak begitu meloyakan.
Mereka berkata, generasi muda kini tidak lagi berminat dengan tapak sejarah atau persembahan kebudayaan sebagai tarikan pelancongan.
Jika begitu, takkan generasi muda datang melancong untuk berbikini dan minum arak?
Pelancong ini sudah puas ‘bogel’ dan mandi arak di negara mereka. Mereka mahu cari kelainan di negara yang dilanconginya.
Lagipun arak yang kita hidangkan adalah arak import. Kalau adapun arak tempatan, kualiti arak import jauh lebih baik. Majlis perkahwinan ultra kiasu, kebanyakan hidang arak import. Isunya di mana nak hidang arak?
Kata Ahli Parlimen ultra kiasu, Malaysia perlu menyediakan persekitaran kondusif untuk pelancong, sekiranya mahu jumlah pelawat ke negara ini meningkat.
“Jika kita pergi ke negara lain, kita mahu mempunyai pengalaman yang menyeronokkan. Tetapi (di Malaysia) apabila pelancong datang, (apabila) mereka mahu mandi di kolam renang sambil memakai bikini atau minum arak, timbul isu.”
Adakah Ahli Parlimen ini begitu bodoh dalam menilai membawa pemikiran pelancong. Mereka sudah puas bertelanjang dan berbikini di negara mereka. Biarlah mereka rasa kelainan apabila berada di negara Islam.
Contohi Qatar yang dipilih menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia. Qatar bertegas, tidak ada arak, tidak ada seks bebas, tidak ada kempen LGBT, jersey mesti sampai lengan, hormat waktu azan dan macam-macam lagi syarat tidak menyusahkan, mempamerkan keindahan Islam selaku tuan rumah.
Alhamdulillah, dengan ketegasan itu, keindahan Islam ditonjolkan.
Akhirnya, Barat dapat rasai kelainan, berbondong-bondong orang masuk Islam selepas itu. Prasangka dan persepsi negatif terhadap Islam selama ini, yang dipersepsikan sebagai kuno, kolot, pengganas dan macam-macam lagi, dapat dikendurkan.
Apa yang penting adalah layanan kita terhadap tetamu berlandaskan adab-adab Islam. Inilah yang perlu dipamerkan kepada pelancongan.
Kesan piala dunia Qatar, pemain, pengunjung dan pelancong yang datang merasai kelainan dan bila mereka balik ke negara masing-masing, pakat-pakat menghampiri masjid untuk mengetahui apa itu Islam sebenarnya.
Inilah yang sepatutnya ditonjolkan apabila pelancong datang ke negara kita, bukannya dengan bertelanjang, berzina, seks bebas dan macam-macam lagi maksiat, sama seperti mereka.
Pelancong mahukan kelainan. Kenapa ahli Parlimen kita begitu bodoh dalam menilai itu semua.
Berbikini bukanlah budaya kita. Jika nak sangat pakai, ikutlah standard antarabangsa seperti di Barat. Misalnya, di Barat berbikini hanya di kolam atau pantai sahaja.
Bila keluar daripada kolam mandi, mereka kena berdisiplin dengan pakaian bersopan keluar daripada kolam. Kita langsung tidak hadkan. Bukan sahaja pelancong, rakyat Malaysia sendiri berbikini bermula dari kolam, sampai ke hotel dan ke kafe.
Sama juga isu arak, ia tidak dijual pada waktu malam, malangnya kita jual 24 jam. Akhirnya, bila mabuk yang jadi korban adalah orang yang tidak minum arak, terutama orang Islam, mangsa kemalangan pemandu masuk.
Ahli Parlimen ultra kiasu ini mempersoalkan bagaimana Malaysia mahu bersaing dengan negara lain sebagai destinasi pelancongan menarik kerana gagal menyediakan persekitaran kondusif atau pengalaman yang menyeronokkan untuk pelancong.
Tambah meloyakan apabila Menteri menjawab, “Kita tidak boleh menjadikan segala-galanya sebagai isu agama kerana kita adalah negara berbilang bangsa dan mesti belajar bekerjasama sebagai sebuah keluarga”
Ahli Parlimen ultra kiasu agama apa? Agama mana pula yang membenarkan bikini dan arak ini. Jangan hina dan mengkhianati agama sendiri.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah