Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Keputusan semakan kes SRC Najib 31 Mac

KUALA LUMPUR, 20 Syaaban 1444H, Isnin – Mahkamah Persekutuan menetapkan 31 Mac untuk menyampaikan keputusannya dalam permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Tarikh keputusan itu disahkan oleh seorang daripada peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi Bernama.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli menangguhkan keputusan mahkamah pada 28 Feb lalu selepas mendengar penghujahan selama enam hari daripada peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

Empat lagi hakim menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 23 Ogos 2022, Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian memfailkan permohonan semakan mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, dalam usaha membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan, hukuman penjara dan denda.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan iaitu tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Hakim Mohd Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun dan keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021.

Sepanjang prosiding selama enam hari itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mendengar rayuan Najib telah melakukan kesilapan asas dalam undang-undang dengan tidak membenarkan penangguhan perbicaraan dan tidak membenarkan bekas peguam Najib, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menarik diri.

Bagaimanapun, Sithambaram berhujah bahawa tiada pelanggaran keadilan semula jadi atau ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah dalam kes itu kerana pihak pembelaan diberi peluang untuk mengemukakan rayuan terakhirnya tetapi Hisyam memilih untuk tidak mengambil peluang yang diberikan atas alasan beliau tidak bersedia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button