Mana janji nak turun harga minyak?
Jalan cerita politik berulang-ulang setiap kali kerajaan baharu perintah

Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 20 Syaaban 1444H, Isnin – Pentadbiran kerajaan baharu ketika ini masih goyah, apatah lagi tiada satu pun tindakan ‘wow’ untuk menyelesaikan masalah rakyat yang terus dihimpit pelbagai masalah.
Realitinya ekonomi negara masih tenat, hutang semakin meningkat dan pengangguran semakin bertambah, bahkan peluang pekerjaan untuk kebanyakan graduan masih kabur.
Bagi Ketua Aktivis Muafakat, Haji Rashidi Haris, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mencapai sebarang pencapaian membanggakan setelah 114 hari memerintah.
“Kalau ada pun bagi menampakkan kerajaan sedang bekerja ialah penangkapan tokoh-tokoh politik di kalangan musuh kepada parti yang memerintah.
“Budaya ini sudah menjadi lumrah, yang menang akan tangkap tokoh dari kalangan menentang untuk tunjukkan yang menang betul dan yang kalah itu salah dan jahat.
“Jalan cerita politik yang berulang-ulang setiap kali naiknya mana-mana parti menjadi pemerintah,” katanya kepada Ismaweb.net.
Beliau juga berkata, sikap pemimpin politik membuatkan rakyat semakin menyampah – pelbagai janji ditabur semata-mata mahu berkuasa.
“Hakikatnya, semua retorik semata-mata. Apa yang tidak retorik? Dari janji turun harga minyak, tutup kilang arak, hapuskan premis judi dan segalanya.
“Tiada satu pun dilaksanakan. Seperti yang kita sebut berkali-kali, yang ada hanyalah tangkapan secara terpilih yang dikaitkan dengan rasuah.
“Semuanya sekadar memberi ucapan bersemangat sahaja. Tidak ada telus seperti yang diharapkan,” katanya.