Dunia

Protes antikerajaan Netanyahu lanjut hingga minggu ke-10

Kerajaan haram rancang sekat kuasa badan kehakiman

TEL AVIV, 20 Syaaban 1444H, Isnin – Suasana di Israel semakin tegang apabila puluhan ribu rakyatnya berhimpun di jalanan membantah dasar sayap kanan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan rancangannya menyekat kuasa badan kehakiman.

Rakyat Israel mengadakan tunjuk perasaan setiap Sabtu bagi menentang peraturan kehakiman kerajaan ekstrem yang dipimpin Netanyahu.

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di jalanan untuk kali ke-10 berturut-turut pada Sabtu lalu, yang diadakan serentak di puluhan bandar, termasuk Tel Aviv, Haifa, Baitulmaqdis Barat, Beersheba dan Netanya.

Wakil NGO berbeza membuat ucapan pro-demokrasi di pentas yang didirikan di Kaplan Tel Aviv berhampiran kompleks kerajaan.

Penunjuk perasaan juga melaungkan slogan menentang Netanyahu, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich.

Demontrasi di bandar Beersheba turut dihadiri bekas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid dan ketua pembangkang, Yesh Atid.

Rancangan pembaharuan terhadap sistem kehakiman itu dicadangkan menterinya, Yariv Levin, dan jika digubal, akan menjadi perubahan paling radikal pernah ada dalam sistem pemerintahan Israel.

Perubahan itu akan mengehadkan kuasa Mahkamah Agung Keadilan, memberi kerajaan kuasa untuk memilih hakim dan menamatkan pelantikan penasihat undang-undang ke kementerian oleh peguam negara.

Netanyahu yang kini berdepan tuduhan rasuah mendakwa kononnya rancangan itu akan menguatkan amalan demokrasi.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button