Artikel Khas

Dari Mentega Terbang ke perarakan geng pelangi, Rahmah di sebalik Madani

Malaysia negara Islam, tapi ideologi budaya songsang makin menular

BELUM habis negara dikecohkan dengan keberanian sebuah filem yang secara halus dan tersirat ‘memujuk’ ke arah murtad, masyarakat awam sekali lagi dikejutkan dengan keceluparan segelintir rakyat yang cuba mencabar undang-undang dan sensitiviti umum melalui perarakan pelangi LGBT di ibu kota pada 12 Mac kelmarin.

Perarakan ini bukan kali pertama, dan seperti sudah dijangka, ia tidak mendapat permit polis. Maksudnya ia bukan sahaja tindakan yang menyalahi undang-undang, malah mencabar pihak berkuasa yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan keharmonian rakyat.

Perarakan gerombolan pelangi LGBT boleh disaksikan secara fizikal melalui sepanduk, pakaian, perwatakan, slogan dan warna-warna yang dipaparkan. Agenda mereka sangat jelas dan semua orang sudah maklum tentang kelantangan mereka.

Oleh kerana pihak polis telah memulakan siasatan, kita berharap ada tindakan susulan akan diambil terhadap mereka sebagai satu pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman awam.

Tetapi bagaimana pula dengan mesej-mesej yang hampir serupa malah lebih merbahaya yang cuba diketengahkan oleh sesetengah penggiat seni melalui karya filem mereka?

Bagaimana pula sekiranya apa yang cuba dipaparkan melalui filem mereka terang-terang bersifat penghinaan (blasphemy), mencabar sensitiviti umat Islam dan cuba ‘memujuk’ supaya masyarakat bernormalisasi dengan gejala murtad dan biadab terhadap agama Islam?

Bagaimana jika terdapat adegan-adegan yang cuba menyelitkan unsur-unsur puralisme agama secara halus mahupun terang-terangan?

Bagaimana kalau terdapat percubaan untuk mempengaruhi dan meracuni minda para penonton khususnya para pelajar Islam dengan ideologi yang sesat dan memecahbelah?

Dalam senario seperti ini, kita terfikir: Bagaimana semua ini dapat dibenarkan berlaku dalam sebuah kerajaan yang Perlembagaannya menetapkan bahawa Islam merupakan agama bagi negara?

Kita juga tertanya-tanya sama ada sistem nilai kehidupan yang dipilih sekarang sudah beralih kepada ideologi liberal sekular, yang sangat menjunjung ‘kebebasan’ untuk berkarya (termasuk kebebasan untuk menghasilkan filem-filem menghina agama Islam), ‘kebebasan’ untuk mengamalkan dan mempromosikan gaya hidup songsang manakala pada waktu yang sama usaha-usaha untuk menyedarkan umat dan mendidik masyarakat terhadap bahaya dan ancaman dari ideologi sesat, kekufuran, kemungkaran dan penyelewengan akidah terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan sekatan!

Jika inilah realiti yang sedag berlaku, kita tidak merasa hairan atau terkejut apabila di satu pihak terdapat segelintir rakyat Malaysia yang menyokong bentuk-bentuk ‘kebebasan’ untuk menghina agama Islam dan memurtadkan generasi mudanya serentak dengan timbulnya suara-suara yang mengecam dan mengkritik golongan agamawan yang ingin menyumbang bakti dan menggoncangkan kelalaian dan kecuaian umat dan bangsa, di pihak lain.

Sekiranya diperhatikan dengan teliti, kumpulan pendesak, gerakan sivil, gerombolan pelangi LGBT dan aktivis-aktivis kebebasan dan kemerdekaan peribadi ini – kononnya atas alasan menjunjung prinsip-prinsip hak asasi – tidak mempedulikan siapa yang menjadi pemerintah.

Agenda mereka tetap dilaksanakan, cuma barangkali strategi mereka akan disesuaikan mengikut keperluan dan maslahat perjuangan mereka. Dalam suasana dan persekitaran politik yang liberal dan bersifat toleransi, mereka akan meninggikan suara atau membuat pelbagai desakan dan tuntutan serta melobi supaya agenda mereka diangkat hingga ke Dewan Rakyat (Parlimen).

Bagaimanapun, nada suara mereka akan diperlahankan sikit bila mana iklim politik tidak positif pada mereka tetapi mereka akan menggantikannya dengan strategi mengecam bahawa pihak pemerintah gagal mempertahankan prinsip-prinsip hak asasi dan telah melakukan diskriminasi terhadap golongan minoriti. Gerakan ini juga tidak ada masalah untuk menjalin ‘kerjasama’ dengan parti-parti politik tempatan yang ‘sehaluan’ atau yang mempunyai platform ‘perjuangan’ yang serupa untuk mencapai cita-cita mereka.

Yang jelas, mereka sangat phobia dengan campurtangan agama (Islam) dalam urusan akhlak, seni, politik, ekonomi, pendidikan, pemerintahan dan undang-undang.

Dalam situasi seperti ini, harapan tidak boleh diberikan kepada ahli-ahli politik untuk menangani isu-isu ini. Mereka sama ada perlu ‘membisu’ merana sudah menjadi sebahagian dari pemerintah atau sedang sibuk untuk bertelingkah dan bersilat dalam gelanggang politik untuk mempertahankan kuasa mereka atau menghalang pihak lain dari mengambilalih kuasa. Pastinya mereka semua tidak ada ‘masa’ untuk menghadapi isu-isu sensitif ini (yang mungkin akan merugikan atau mengurangkan sokongan kepada mereka).

Golongan agamawan atau para intelektual termasuk barisan akademia di institusi-institusi pengajian tinggi mungkin juga enggan mengambil risiko untuk terbabit dalam perbincangan perkara ini ataupun juga mengambil langkah berani dengan menyuarakan bantahan dan pendirian mereka.

Banyak kepentingan yang perlu dijaga agaknya.

Yang berbaki hanyalah benteng pertahanan dan keteguhan dari umat dan bangsa sahaja. Suara mereka adalah suara yang kuat dan berpengaruh. Desakan mereka juga tidak kurang berkesan dan mampu ‘memaksa’ pihak pemerintah supaya mengambil sikap bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak tunduk kepada tuntutan atau tekanan pihak minoriti yang melampau.

Sekiranya pihak pemerintah juga tidak mempedulikan atau mengambil tindakan yang diharapkan, rakyat masih berpeluang untuk melakukan perubahan iaitu melalui peti undi. Pengalaman dalam siri-siri pilihan raya sebelum ini adalah satu testimoni bahawa kuasa sebenar terletak pada tangan yang memangkah.

Meskipun terdapat 4000 pertubuhan sivil yang menyokong karya-karya menyeleweng atau mempertahankan agenda sekular, liberal, pluralisme dan kemurtadan, umat dan bangsa tidak akan membiarkan kehancuran ini berlaku di depan mata tanpa sebarang perlawanan.
Itupun kalau sedarlah.

Mohd Lutfi Abdul Khalid
Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button