‘Lebih baik pinjam dengan pusat zakat daripada hutang bank’
Peluang untuk perkasakan lagi fungsi zakat

Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 21 Syaaban 1444H, Selasa – Langkah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan persaraan sebagai cagaran membuat pinjaman bank, hanya memburukkan lagi masalah rakyat yang terhimpit kos sara hidup.
Kerajaan sepatutnya mengetengahkan langkah atau kaedah yang lebih ‘bijak’, bukannya menjebakkan lagi rakyat dengan hutang bank.
Jika alasan untuk ‘membantu rakyat terdesak’, Yang Dipertua Isma Sepang, Ibrahim Hassan berpendapat, adalah lebih baik jika kerajaan memberi peluang kepada golongan ini meminjam dengan pusat zakat.
“Pada saya, daripada berhutang dengan bank, lebih baik meminjam dengan pusat zakat dan jadikan KWSP sebagai cagaran.
“Fokusnya, peminjam adalah daripada kalangan yang betul-betul memerlukan. Selain itu, peminjam akan berasa insaf untuk membayar kerana ianya duit zakat.
“Peminjam akan berhati-hati dalam menggunakan duit zakat. Hanya untuk keperluan yang patuh Syariah,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.
Ibrahim menjelaskan, tujuan zakat itu sendiri adalah untuk membantu asnaf keluar daripada keadaan susah atau kemiskinan.
Maka, ini peluang terbaik untuk memperkasakan fungsi zakat supaya lebih dekat dalam masyarakat dan boleh digunakan semula setelah peminjam mampu bayar.
“Berbeza jika pinjam dengan bank, jika sudah disenarai hitam sudah tentu tidak layak dan jika layak, hanya akan menambah beban kewangan dengan kadar keuntungan yang perlu dibayar,’ katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bercadang memperkenal kaedah yang membenarkan pencarum membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di KWSP sebagai cagaran.
Kaedah itu katanya, hanya diberikan kepada individu tertentu dan tertakluk sebagai kes mendesak.
Bagaimanapun langkah berkenaan dikritik pelbagai pihak kerana menganggap tindakan itu boleh menambah beban hidup dan melanggar akta.
Namun, Perdana Menteri mempertahankannya dengan menegaskan, cagaran pinjaman peribadi ini tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991.