Berita UtamaDunia

Qatar pengimport senjata terbesar dunia walau perang di Ukraine berlanjutan

Negara itu kian kuat di tengah-tengah masalah tenaga Eropah

DOHA, 21 Syaaban 1444H, Selasa – Negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara kekal antara pengimport senjata terbesar di dunia pada 2022, walaupun global tertumpu kepada penghantaran senjata ke Ukraine di tengah-tengah peperangan dengan Russia.

Data itu berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (Sipri), semalam.

“Walaupun pemindahan senjata merosot di peringkat global, namun di Eropah ia meningkat dengan mendadak disebabkan ketegangan antara Russia dan kebanyakan negara Eropah yang lain.

“Import senjata ke Asia Timur telah meningkat dan penghantarannya ke Timur Tengah kekal pada tahap yang tinggi,” kata penyelidik kanan dengan program pemindahan senjata Sipri, Pieter D Wezeman.

Senjata dari Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah diimport ke Ukraine, berikutan pencerobohan Russia pada Februari 2022.

AS sahaja telah memberikan Ukraine kira-kira $27.5 bilion bantuan ketenteraan sejak permulaan pentadbiran Joe Biden. Kyiv ialah pengimport senjata ketiga terbesar di dunia pada 2022.

Qatar, sebuah negara kaya gas dengan hanya tiga juta penduduk, disenaraikan tempat teratas sebagai pengimport senjata terbesar dunia setakat tahun lepas.  

Penghantaran senjata ke negara itu meningkat sebanyak 311 peratus antara 2013-2017 dan 2018-2022.

Pada Januari, Qatar telah dilantik sebagai sekutu utama bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) oleh Biden, membuka laluan lebih banyak pembelian senjata dari AS. 

Manakala pada November, Jabatan Negara AS meluluskan potensi penjualan sistem antidrone bernilai $1 bilion kepada Qatar.

Negeri-negeri Timur Tengah yang lain tidak ketinggalan. Arab Saudi ialah pengimport senjata kedua terbesar di dunia pada 2018–2022, menerima 9.6 peratus daripada semua import senjata global. 

Mesir, yang menghadapi krisis ekonomi teruk kini menduduki tempat keenam di dunia untuk mengimport senjata dalam tempoh sama. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button