Russia setuju lanjut perjanjian eksport bijirin ke Ukraine
Eksport bijirin bantu kurangkan krisis makanan global

MOSCOW, 21 Syaaban 1444H, Selasa – Russia bersetuju melanjutkan perjanjian mengeksport bijirin ke Ukraine selama 60 hari lagi selepas perbincangan dengan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Menteri Luar Russia, Sergey Vershinin membuat pengumuman itu selepas menyelesaikan rundingan dengan pegawai tertinggi PBB di ibu pejabat Palais des Nations di bandar Geneva, Switzerland pada hari Isnin.
Inisiatif Bijirin Laut Hitam (BSGI) yang diuruskan oleh Turkiye sebelum ini telah dilanjutkan sekali pada bulan November dan akan tamat pada 18 Mac.
Bagaimanapun Kremlin menimbulkan keraguan sama ada ia akan bersetuju dengan lanjutan baru, dengan mendakwa perjanjian kedua – antara Moscow dan PBB – mengenai eksport Russia tidak dihormati.
Walaupun BSGI berkaitan dengan eksport bijirin Ukraine, perjanjian kedua bertujuan untuk memudahkan eksport makanan dan baja Russia.
Namun ia dikecualikan daripada sekatan Barat ke atas Moscow susulan operasi ketenteraan yang telah lama berlaku di Ukraine.
Vershinin berkata, beliau mahu melihat kemajuan ketara dalam perjanjian itu sebelum perjanjian BSGI dibuat untuk pembaharuan semula.
Russia telah mengumumkan pihaknya akan menyertai semula koridor eksport bijirin yang ditadbir oleh PBB dari Ukraine melalui Laut Hitam, namun kekal pendirian untuk menarik diri daripada perjanjian antarabangsa.
Perjanjian eksport bijirin telah membantu mengurangkan krisis makanan global yang dicetuskan oleh operasi ketenteraan Russia di Ukraine pada Februari 2022. – Agensi