Dunia

Tahanan Palestin tertua bebas selepas 17 tahun dikurung

4,780 rakyat Palestin kini dalam penjara Israel termasuk 160 kanak-kanak

RAMALLAH, 21 Syaaban 1444H, Selasa –  Seorang tahanan Palestin tertua dibebaskan selepas 17 tahun ditahan dalam penjara negara haram Israel.

Fuad Al-Shubaki, 83, disambut oleh keluarganya di pusat pemeriksaan Tarqumia, di bandar Hebron, sejurus dibebaskan dari Penjara Ashkelon, semalam.

Dalam komen pertamanya, Fuad menggesa supaya tahanan Palestin dibebaskan dari penjara Israel. 

Menurut angka Palestin, terdapat 4,780 rakyat Palestin yang ditahan oleh pengganas Israel, termasuk 160 kanak-kanak dan 29 tahanan wanita. 

NGO Persatuan Banduan Palestin berkata, Fuad menghidap penyakit kronik dan bergantung kepada rakan tahanan untuk memenuhi keperluan fizikal ketika di penjara. 

Dilahirkan pada 1940 di Gaza, Fuad adalah ahli kanan kumpulan Fatah dan pengiring kepada bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat dalam banyak lawatan luarnya.

Pada Januari 2002, Israel merampas penghantaran senjata di atas kapal dikenali sebagai Karine A – di Laut Merah ketika dalam perjalanan ke Palestin. 

Israel menuduh Fuad terbabit dalam kegiatan penghantaran senjata dan menangkapnya pada Mac 2006 dari penjara Palestin di bandar Jericho, di mana dia ditahan di bawah kawalan Amerika Syarikat (AS) dan British sejak 2002. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button