Berita Utama

Tuduhan MP Hulu Langat pada guru KAFA bermotif politik

Sany patut perjuang kenaikan gaji dari memfitnah

BANGI, 21 Syaaban 1444H, Selasa – BERJASA menasihatkan Ahli Parlimen Hulu Langat supaya memfokuskan agenda kebajikan, berbanding melemparkan tuduhan jahat terhadap guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

Ini susulan kenyataan Mohd Sany Hamzah di Parlimen semalam, mendakwa wujudnya hasutan berbentuk politik perkauman daripada guru-guru KAFA kepada murid di sekolah agama.

Mohd Sany dalam celahan ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggulungkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023, mempersoalkan sama beliau maklum terdapat guru KAFA yang berpolitik di sekolah.

Beliau mendakwa, guru KAFA ada menyebut perkara yang tidak sepatutnya ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, bagi mempengaruhi murid-murid.

Mengecam tuduhan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu, Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya menyifatkan tuduhan Mohd Sany terhadap guru hanya bermotifkan politik tanpa ada hujah serta bukti yang kukuh.

“Beliau tidak patut mengeluarkan dakwaan-dakwaan yang berniat jahat terhadap guru-guru KAFA ini.

“Mereka hanya fokus kepada tugas hakiki sahaja, iaitu mengajar dan mendidik anak-anak murid di sekolah.

“Saya juga merupakan Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Agama Rakyat (SRAR) di kawasan saya dan tidak melihat pun mana-mana guru yang bertindak menghasut perkara yang bukan-bukan mengenai politik kepada anak-anak murid,” katanya.

Selaku Ahli Parlimen, Zulkifli berkata, Mohd Sany sepatutnya memperjuangkan kebajikan guru-guru KAFA seperti kenaikan gaji dan promosi lantikan jawatan tetap.

Justeru, beliau menggesa supaya permainan politik fitnah-memfitnah seumpama ini dihentikan, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Kerajaan sekarang yang menggunakan teras Kerajaan Madani perlu bersikap mesra kepada rakyat melalui pembentukan dasar-dasar yang memudahkan rakyat, bukannya mengaitkan mereka untuk agenda politik seperti tuduhan terhadap guru-guru KAFA,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button