Berita Utama

Wanita BERJASA kecam pihak cemar perarakan Hari Wanita dengan promosi LGBT

Jangan terperangkap slogan 'diskriminasi' diangkat golongan songsang

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Syaaban 1444H, Selasa – “Apa kaitan Hari Wanita dengan golongan songsang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT)?

“Semua tahu dua golongan ini berbeza, langsung tak berkait sama ada dari segi biologi mahupun fitrahnya.”

Demikian respons Timbalan Ketua Wanita BERJASA, Ustazah Siti Umi Kalsom Hussin terhadap perhimpunan ‘Women’s March Malaysia 2023’ yang dicemari dengan penyertaan golongan yang membawa budaya songsang.

Beliau menggesa kerajaan tidak melayan bahkan menolak segala tuntutan yang bertentangan dengan adat budaya kesopanan timur yang bertunjangkan Islam sebagai agama persekutuan.

“Jangan terperangkap dengan slogan ‘diskriminasi’ mereka baru-baru ini. Mereka hanya ingin menjadikan aktiviti kerakusan nafsu luar tabii diterima masyarakat. Lantas mengambil kesempatan atas nama ‘diskriminasi’.

“Sebaiknya, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha-usaha meneruskan agenda pemerkasaan wanita. Isu-isu penderaan fizikal dan mental terhadap wanita yang semakin meningkat harus ditangani dengan lebih serius dan mendapat perhatian yang lebih utama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Ummi Kalsom berkata, masalah berkaitan wanita menjadi parah apabila ramai di kalangan wanita hari ini terpaksa mengambil peranan lelaki dalam menyara keluarga.

“Keadaan terpaksa ini akan memberi tekanan emosi dan mental kepada wanita. Situasi ini harus dibendung supaya tidak menimbulkan konflik yang lebih teruk lagi di masa akan datang.

“Tidak dapat dinafikan wanita yang terpaksa menanggung keluarga akan terjejas tumpuannya kepada mendidik anak-anak dan pembinaan generasi.

“Ini sangat merugikan negara kerana keadaan ini jika tidak dibendung akan mengakibatkan terjejasnya pembinaan modal insan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ustazah Siti Umi Kalsom berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga digesa agar tidak mengabaikan kebajikan wanita yang telah bertindak sebagai suri rumah.

“Mereka adalah tulang belakang utama dalam pembangunan negara. Kerana di tangan mereka, lahirlah pembinaan modal insan negara dan kesejahteraan serta pembangunan negara,” katanya.

Penganjur mendakwa Women’s March Malaysia 2023 bertujuan menyeru kesaksamaan gender, keadilan dan menamatkan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dan anak perempuan.

Bagaimanapun, ia mendapat kecaman apabila terdapat peserta himpunan memegang plakad di antaranya ‘Trans Women Are Woman, Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride, Police Your Behaviour Not My Body” dan lain-lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button