Berita Utama

Penerima STR diminta kemas kini maklumat sebelum 31 Mac

Data terkumpul sudah lama, ada penerima bertukar status

KOTA BHARU, 22 Syaaban 1444H, Rabu – Semua penerima dan pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diminta mengemas kini maklumat peribadi bagi melancarkan pembayaran fasa kedua sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah tersebut perlu dilakukan berikutan data yang dikumpul sebelum ini sudah lama dan terdapat penerima sudah bertukar status.

Justeru, penerima STR boleh membuat permohonan dan mengemaskini maklumat masing-masing bermula 1 Mac lalu sehingga 31 Mac depan.

“Pembayaran STR dilaksanakan mengikut empat kali iaitu fasa pertama bermula 17 Januari, fasa kedua sebelum Hari Raya Aidilfitri, fasa ketiga pada Julai manakala fasa keempat pada November depan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pemohon STR secara manual dan dalam talian di Kelantan setakat ini ialah seramai 806,024 orang.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 587,160 permohonan telah diluluskan dengan bayaran keseluruhan RM519,638,850.

 “STR kali ini melibatkan peruntukan terbesar yang pernah diberikan iaitu RM8 bilion kepada 9 juta rakyat. Ia akan memberi manfaat kepada golongan B40 di bawah LHDN selaku agensi pelaksana,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button