Berita UtamaDunia

Pengebom bunuh diri di Somalia sasar tentera, pegawai pentadbiran

Kumpulan pengganas Al-Shabaab mengaku lancar serangan berani mati

MOGADISHU, 22 Syaaban 1444H, Rabu – Sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila pengebom bunuh diri meletupkan sebuah kereta sarat bahan letupan di selatan Somalia, lapor Agensi Berita Anadolu.

Pegawai polis, Mohamed Ali Adan berkata, letupan itu menyasarkan rumah tetamu di bandar Bardhere yang menempatkan pegawai pentadbiran wilayah dan pegawai kanan tentera.

Garane Abdi, seorang penduduk tempatan, memberitahu Anadolu bahawa terdapat serangan mortar sebelum letupan.

“Letupan itu sangat besar. Saya tidak pernah menyaksikan letupan sebegitu dalam hidup saya”, katanya.

Kumpulan pengganas yang bersekutu dengan Al-Qaeda, Al-Shabaab, mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Sejak operasi ketenteraan terhadap Al-Shabaab semakin giat, kumpulan pengganas itu telah meningkatkan serangannya.  

Pada Oktober tahun lalu, dua bom kereta menyasarkan Kementerian Pendidikan, membunuh sekurang-kurangnya 121 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain dalam pengeboman di Somalia.

Tentera Kebangsaan Somalia telah memerangi pengganas Al-Shabaab sejak Presiden Hassan Sheikh Mohamud mengisytiharkan ‘perang habis-habisan’ ke atas mereka selepas beliau dipilih semula untuk penggal kedua Mei lalu.

Somalia telah dibelenggu ketidakamanan selama bertahun-tahun, dengan kumpulan pengganas Al-Shabaab dan Daesh menjadi ancaman utama.

PBB telah mengeluarkan laporan berkala tahun lalu yang memperincikan serangan oleh Al-Shabaab dan kumpulan pengganas pro-Daesh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button