Putra diminta perjelas khabar angin tukar nama pada GTA
Pentingkan penyatuan ummah, bukan untung rugi parti

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 22 Syaaban 1444H, Rabu – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) perlu membuat penafian di saluran yang betul berkaitan khabar angin mendakwa parti itu mahu menukar nama kepada Gerakan Tanah Air (GTA).
Penafian itu penting untuk menggambarkan Putra sentiasa menjaga kepentingan bersama dengan komponen parti lain dalam GTA itu sendiri.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, sebarang idea untuk menggunakan nama GTA mestilah dibawa ke meja mesyuarat yang dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi GTA.
“GTA bukan milik individu atau satu parti, oleh itu, tiada sesiapa boleh buat keputusan secara individu atau hanya satu parti sahaja guna nama GTA,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan parti yang dipimpin Datuk Dr Ibrahim Ali bakal dirombak dan ditukarkan nama kepada GTA.
Tindakan itu didakwa sebagai usaha membentuk kekuatan parti itu dan akan berganding bahu dengan Perikatan Nasional (PN).
GTA kini hanya dikenali sebagai satu pakatan politik yang terdiri daripada BERJASA, Putra dan Iman selepas Pejuang yang menarik diri keluar daripada pakatan tersebut.
Mengulas lanjut, Zamani berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan penyatuan ummah berdasarkan kepentingan untung rugi kepada ummah bukan penyatuan ummah secara terpilih berdasarkan untung rugi parti.
“Sekiranya memang ada dalam kalangan pimpinan GTA untuk membawa GTA bersama atau bekerjasama dengan PN ianya hendaklah diputuskan melalui mesyuarat di peringkat Majlis Tertinggi GTA,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim pula ketika dihubungi menjelaskan penyertaan atau pakatan di antara Putra dengan PN dalam usaha membentuk gabungan kekuatan parti Melayu terbesar tidak berbangkit pada masa ini.
“Bahkan, isu pertukaran nama Putra kepada GTA tidak pernah disentuh dalam mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra setakat ini,” katanya.