Berita Utama

Atasi masalah capaian internet dahulu sebelum tukar buku teks digital

Cetuskan jurang lebih luas antara pelajar bandar, luar bandar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Syaaban 1444H, Khamis – Capaian internet perlu dipertingkatkan terlebih dahulu sebelum menukarkan bahan sistem pendidikan termasuk buku teks fizikal kepada digital.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, capaian internet adalah asas penting sepanjang pelaksanaan pendigital buku teks kelak.

“Kementerian Pendidikan perlu ambil kira faktor ini dahulu untuk elakkan masalah lain, kita bimbang objektif utama pembelajaran digital tidak tercapai.

“Akhirnya berlaku pembaziran akibat kos yang mahal selain menyebabkan pelajar kerugian masa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rancangan KPM meneruskan usaha menukarkan buku teks fizikal kepada digital sebagai langkah menyelesaikan masalah beban beg berat murid.

Beliau turut menyenaraikan beberapa alasan sebagai menolak cadangan KPM terutama apabila melibatkan pelajar di luar bandar.

Situasi berkenaan katanya, akan melebarkan lagi jurang antara pelajar di bandar dan di luar bandar.

“Begitu juga dari pihak guru kelas, mereka perlu mempelajari ilmu yang baharu untuk mengajar dan keadaan itu hanya menambahkan lagi beban guru.

“Dari segi ibu bapa pula, tidak semua mampu untuk membeli alatan digital dan memiliki akses internet di rumah.

“Bahkan situasi ini juga membuka peluang untuk pelajar menggunakan alatan berkenaan kepada perkara yang tidak membawa manfaat,” katanya.

Justeru beliau mencadangkan supaya penilaian yang lebih teliti dengan pelbagai pihak dilakukan sebelum menukar bahan sistem pendidikan.

Beliau memberi contoh, Australia dan Amerika Syarikat (AS) pernah mendigitalkan buku teks, namun terpaksa kembali menggunakan kaedah fizikal.

Ia susulan kerugian yang dialami lebih besar berbanding manfaat yang diperoleh melalui pendigital buku teks.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button